KOTA KINABALU: Mempelbagaikan strategi pertumbuhan ekonomi merupakan salah satu usaha melonjakkan prestasi negeri Sabah ke peringkat serantau.

Ini ditambah lagi dengan kerancakan pembangunan dan ekonomi negara jiran, Indonesia, yang kini sedang dalam fasa peralihan ibu negara yang baharu di Kalimantan.

Perutusan Khas (Special Envoy) Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA) Sabah; Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, rangka strategi itu sedang giat diusahakan.

"Maka sekarang ini BIMP-EAGA Special Envoy di bawah (bidang kuasa) saya. (Saya) sedang merangka strategi-strategi yang tertentu bagaimana kita boleh melonjakkan lagi BIMP-EAGA dari Sabah.

"Kalau saya baca pemikiran Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) sekarang ini, mungkin beliau mengambil kira  perkembangan baharu dimana ibu kota Indonesia akan dipindah ke Kalimantan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelas Pandikar Amin lagi, beliau berharap dapat membalas kepercayaan pucuk pimpinan negeri ini yang memberikannya mandat untuk membawa hala tuju ekonomi Sabah ke peringkat lebih tinggi.

"Cuma beberapa hambatan sekarang ini dalam pelantikan sebagai special envoy ini ada kaitan dengan Kerajaan Persekutuan kerana kerjasama ekonomi di antara negara yang berjiran mempunyai ciri-ciri seolah tugas sebagai special envoy itu melibatkan perjanjian diplomasi," katanya lagi.

Tambahnya, usaha memperkasa tindakan-tindakan itu akan dilaksanakan dari masa ke semasa dalam memastikan rakyat Sabah terus menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi di rantau ini.